SALAM HORMAT

Blog ini dibangunkan untuk memperkasakan lagi penggunaan Pusat Akses Sekolah agar dapat menjadi wadah perkembangan ICT di peringkat sekolah. Semoga blog ini mampu menarik lebih ramai pelajar dan guru menggunakan Pusat Akses SKTBR1 dalam meningkatkan mutu pendidikan.

RENCANA

Sabtu, 7 Mei 2011

ICT: Kita tidak boleh gagal



DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN.


Mukadimah
SEPERTI diketahui umum, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 pada 16 Januari lalu. Ia bertujuan melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah dan mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.
PIPP menggariskan enam teras strategik bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, produktif dan kreatif ke arah membantu Misi Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Enam teras itu ialah membina negara bangsa; membangunkan modal insan; memperkasakan sekolah kebangsaan; merapatkan jurang pendidikan; memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Bagi tujuan itu fokus bulanan ditetapkan bagi menerangkan status projek dan program yang dirancang dalam PIPP.
Dan memasuki bulan April ini, tumpuan kementerian ialah melaksanakan teras ketiga iaitu memperkasa sekolah kebangsaan dalam konteks pembestarian sekolah dan inisiatif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Bagi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, beliau bersyukur kerana telah melalui pelaksanaan dua teras utama dalam tempoh dua bulan sejak ia dilancarkan termasuk Lonjakan Perdana Pendidikan luar bandar dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
“Saya dapat lihat pegawai-pegawai saya memahami dengan jelas apa yang tertulis dalam pelan induk dan sedang melaksanakannya,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Ditanya sama ada rentak beliau tidak terlalu laju dalam melaksanakan program ini, beliau berkata:
“Sebenarnya saya tidak ada cara yang lebih baik untuk mendalami PIPP ini selain dari berusaha melaksanakan atau paling tidak terlibat dalam pelaksanaannya.”
Bagi Hishammuddin, melalui fokus bulanan ini, semua bahagian dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dan mereka semakin berkemampuan untuk mempakejkan produk masing-masing sebagai satu pakej berdasarkan teras-teras dalam PIPP.
Mulai bulan ini, April, Kementerian Pelajaran melaksanakan program pembestarian sekolah dan pemantapan serta penjenamaan semula 88 sekolah bestari di seluruh negara. Ia bagi merealisasikan teras ketiga PIPP 2006-2010, iaitu memperkasa sekolah kebangsaan.
MINGGUAN: Apakah tujuan di sebalik menetapkan fokus bulanan ini? Bolehkah Datuk Seri jelaskan dalam konteks fokus bulan ini (April), iaitu program pembestarian sekolah?
HISHAMMUDDIN: Ia seperti serampang dua mata. Dari satu segi, ia untuk membantu warga KPM dan orang ramai memahami teras-teras dalam PIPP, program dan projek yang ada di dalam teras-teras tersebut dan status pelaksanaannya yang terkini. Dari segi yang lain pula, ia membantu warga KPM agar tindakan mereka lebih berfokus, mempunyai sasaran dan bertindak melaksanakan program-program ini dalam satu pakej dengan segera dan tanpa berlengah-lengah lagi. Lebih-lebih lagi kerana kita perlu melaporkan pelaksanaannya kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa dan kepada orang ramai dua kali setahun, bermula bulan Jun tahun ini.
Misalnya dalam bulan ini, kita akan memaklumkan kepada orang ramai tentang pelaksanaan dua program utama iaitu pertamanya, program pembestarian sekolah dan keduanya, usaha pemantapan dan penjenamaan semula 88 sekolah bestari.
Dalam bulan ini kita akan berusaha memberikan penjelasan kepada orang status pelaksanaan kedua-dua program ini, sejauh mana ia telah dilaksanakan sejak bermulanya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sejauh mana kejayaan atau kekangan yang dihadapi seterusnya langkah-langkah yang hendak diambil atau tindakan penambah baikan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh RMK-9 ini bagi memastikan matlamat pelan induk pendidikan ini dapat dicapai.
Pada waktu yang sama, kita akan melaksanakan juga program-program yang telah kita rancang seperti melaksanakan latihan kepada guru dalam ICT, mengadakan pusat akses di sekolah-sekolah, membentuk kerjasama dengan pihak luar KPM bagi membantu mempercepatkan proses pembestarian di sekolah-sekolah dan sebagainya.
Ini yang saya maksudkan bila saya katakan kita bukan sahaja menerangkan kepada rakyat tapi juga melaksanakan segala program yang telah dirancang dalam PIPP.
Boleh Datuk Seri jelaskan kenapa ada dua program berbeza, pembestarian sekolah dan 88 buah sekolah bestari?
HISHAMMUDDIN: Dari segi takrifan, kita takrifkan program pembestarian sekolah sebagai proses berterusan ke arah pembudayaan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta kompetensi guru.
Program pembestarian sekolah melibatkan usaha melengkapkan semua sekolah KPM dengan infrastruktur, perkakasan, perisian dan aplikasi, latihan guru serta program pengurusan perubahan (change management) yang bersesuaian dan mencukupi.
Sewaktu saya mula berada di KPM, saya dapati inisiatif-inisiatif ICT di KPM ini begitu banyak, tetapi dilaksanakan secara terpisah-pisah dan berasingan. Ada juga yang berada di bawah tanggungjawab kementerian yang lain, seperti akses Internet jalur lebar, makmal komputer dan sekolah bestari.
Kita sedia maklum bahawa KPM adalah sebuah kementerian yang besar. Sukar untuk pegawai-pegawainya mengetahui setiap inci ruang di dalam kementerian ini. Apalagi mereka yang berada di luar KPM. Kerana itu bila makmal komputer dibina, objektifnya hanya untuk menyiapkan makmal, tetapi pihak luar mungkin tidak tahu ruang yang dipunyai sekolah, sama ada bekalan elektrik ada atau tidak, sama ada guru terlatih atau tidak dan sebagainya.
Akhirnya, makmal dibina atas padang, dibina di sekolah-sekolah yang tiada bekalan elektrik dan ditempatkan di sekolah-sekolah yang kurang guru atau gurunya tidak terlatih menggunakan ICT dan sebagainya. Objektif mereka hanya untuk siapkan makmal dan mereka akan menyiapkan makmal tanpa mengambil kira faktor-faktor ini.
Misalnya di Kalabakan, ada sekolah yang diberikan komputer, tetapi kita dapati, ada sekolah yang mempunyai sistem pendawaian yang usang dan tidak sesuai. Ada juga sekolah yang tidak mendapat bekalan elektrik yang mencukupi kerana hanya mempunyai generator berkuasa kecil.
Ada kalanya inisiatif-inisiatif ini bertindih dan menyebabkan pertambahan beban tugas dan pembaziran. Paling ketara adalah latihan kemahiran ICT untuk guru-guru. Bukan sahaja bahagian-bahagian di dalam KPM yang melaksanakan pelbagai jenis latihan, malah pihak ketiga, seperti pemain industri, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan sekolah turut melaksanakan latihan yang mungkin hampir serupa. Ini belum termasuk aspek perisian kursus dan aplikasi yang digunakan di sekolah-sekolah.
Jadi dalam tempoh dua tahun ini kita berusaha untuk menyelaras dan mempakejkan semula semua inisiatif ICT KPM, seperti yang utamanya, projek makmal komputer dan pengkomputeran sekolah, program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akses internet jalur lebar School-Net, pembangunan perisian kursus, pusat akses, TV Pendidikan, termasuklah sekolah bestari telah kita selaraskan dan kita pakejkan sebagai program pembestarian sekolah.
Dalam usaha untuk membestarikan semua sekolah ini, kali ini kita tidak mahu lagi bila kita membina makmal, ia dibina di atas padang, di sekolah yang tiada bekalan elektrik mencukupi, yang ada masalah pendawaian dan yang tiada guru berkemahiran dalam ICT. Saya tidak mahu lagi inisiatif ICT yang ingin kita perluaskan ke sekolah-sekolah dilihat secara terpisah-pisah. Saya mahu ia dipakejkan dengan baik dan disinergikan agar impaknya terhadap pelajar, guru dan sekolah dapat dimaksimumkan.
Bagaimana pula 88 buah sekolah bestari? Apa yang Datuk Seri maksudkan sebagai pemantapan dan penjenamaan semula 88 sekolah ini?
HISHAMMUDDIN: Seperti yang saya sering sebutkan, di dalam melaksanakan PIPP, kita ada dua pendekatan, pertama untuk menyelesaikan tugas-tugas yang masih belum selesai seperti untuk mengadakan akses, memastikan ekuiti, merapatkan jurang dan sebagainya. Pendekatan kedua pula adalah untuk berusaha melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah dan institusi yang telah bersedia ke suatu tahap yang lebih tinggi lagi agar dapat mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.
Pembestarian sekolah jatuh di dalam pendekatan pertama, tetapi pemantapan 88 sekolah bestari adalah datang dari pendekatan kedua.
Sekolah bestari adalah salah satu daripada tujuh Aplikasi Perdana (flagship) di dalam Koridor Raya Multimedia (MSC) dan merupakan salah satu daripada inisiatif ICT utama KPM. Projek rintis sekolah bestari dimulakan pada tahun 1999 hingga 2002 dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC). Memandangkan ia merupakan salah satu dari aplikasi perdana MSC, maka kita tidak boleh gagal. Kita mesti memastikan kejayaannya. Jadi perhatian yang berbeza perlu diberikan kepada 88 sekolah ini.
Saya telah meminta MDeC menerajui usaha untuk memantap dan menjenamakan semula 88 buah sekolah ini. Usaha pemantapan dan penjenamaan semula ini penting atas dua sebab, pertamanya supaya 88 sekolah ini dapat dijadikan model dan penanda aras (benchmark) terhadap usaha membestarikan kesemua 10,000 sekolah.
Keduanya, melalui usaha pemantapan dan penjenamaan semula ini juga, diharapkan 88 buah sekolah bestari ini boleh dilonjakkan untuk dijadikan showcase dan rujukan kepada masyarakat dunia.
Terdapat cakap-cakap bahawa 88 buah sekolah bestari tidak berjaya dan tidak mencapai tahap yang disasarkan?
HISHAMMUDDIN: Sebenarnya ada di kalangan 88 buah sekolah ini yang berjaya dan telah mencapai tahap yang kita tetapkan. Bagaimanapun saya rasa kita perlu berlaku adil juga terhadap sekolah yang masih belum mencapai tahap yang kita inginkan.
Seperti yang kita sedia maklum, idea mengenai sekolah bestari timbul sekitar tahun 1995 dan kita telah merintis pelaksanaannya pada tahun 1999.
Teknologi pada masa itu berbeza dengan teknologi yang ada pada tahun 2007. Teknologi lama inilah yang digunakan dalam penyediaan infrastruktur, perkakasan dan aplikasi yang digunakan oleh sekolah-sekolah bestari ini.
Ketika itu juga negara sedang mengalami krisis mata wang. Disebabkan itu kebanyakan sekolah rintis bestari tidak mempunyai infrastruktur yang sempurna dan perkakasan yang mencukupi. Malah ketika ini, di sekolah-sekolah yang lebih lambat menerima bekalan server dan komputer dari KPM mempunyai server dan komputer yang lebih baik spesifikasinya dan lebih berkuasa.
Pada ketika itu juga belum diperkenalkan program pengurusan perubahan (change management) untuk memastikan perubahan sepenuhnya budaya di dalam sekolah dan penerimaan pembudayaan penggunaan ICT di sekolah.
Jelasnya, kita tidak boleh mengharapkan 88 buah sekolah ini berada sebaris dengan teknologi usang dan perkakasan yang lebih terkebelakang dari sekolah-sekolah lain.
Jadi kita perlu re-visit dan meneliti semula setiap kelemahan serta kita perlu melihat trend dunia ketika ini. Kita akan melihat dari pelbagai segi, termasuklah dari segi polisi, sumber manusia dan kewangan. Selepas meneliti semula pelaksanaan sekolah bestari dari segala sudut, termasuk trend terkini di negara- negara yang lebih maju, barulah kita boleh mencari jalan untuk melonjakkannya ke hadapan.
Sekiranya untuk melonjakkan 88 buah sekolah ini kita memerlukan perubahan polisi, kita akan mencadangkan perubahannya. Jika kita perlukan perubahan kepimpinan di sekolah ataupun di kementerian, kita akan lakukannya. Jika kita memerlukan lebih peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur, perkakasan dan sebagainya, maka kita akan meminta lebih peruntukan dari kerajaan. Yang penting, program ini mesti berjaya. Inilah yang dimaksudkan tentang penjenamaan, pemantapan dan penanda arasan 88 sekolah bestari.
Dulu ada sekolah bestari dan sekarang sekolah kluster. Dengan wujudnya sekolah kluster tidakkah ia menggugat pelaksanaan sekolah bestari?
HISHAMMUDDIN: Untuk tidak mengelirukan orang ramai, saya suka menerangkan bahawa 88 buah sekolah bestari adalah sekolah-sekolah yang terpilih di dalam aplikasi perdana MSC. Sekolah-sekolah ini tiada pilihan, melainkan mesti menjadi model pelaksanaan pengintegrasian ICT yang boleh diikuti oleh semua sekolah yang lain di dalam negara. Mereka juga tidak mempunyai pilihan kerana mereka juga akan menjadi sekolah-sekolah yang hendak dijadikan showcase di peringkat antarabangsa. Bidang mereka adalah pengintegrasian ICT.
Sedangkan dalam konsep kluster kecemerlangan, sekolah-sekolah ini diberi pilihan untuk memilih niche areas yang diingini. Pentadbir-pentadbir sekolah ini juga diberikan autonomi tertentu untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah masing-masing ke tahap dunia di dalam niche areas yang dipilih.
Sebenarnya ada di kalangan sekolah-sekolah bestari yang tersenarai dalam kluster kecemerlangan. Misalnya dari kluster sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Alam Shah dan Kolej Islam Klang.
Sekolah bestari bukan salah satu kluster di dalam kluster kecemerlangan yang terdiri dari jenis sekolah, aliran dan juga lokasi di dalam sistem persekolahan kita seperti kluster SBP, kluster sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), kluster sekolah menengah teknik (SMT) dan beberapa kluster lagi seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Jadi tidak timbul sama sekali soal persaingan. Sebaliknya, ada persamaan dari segi pendekatan pelaksanaan kedua-duanya. Kedua-duanya jatuh dalam pendekatan kita yang kedua dalam melaksanakan PIPP, iaitu untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Dalam hal ini, perhatian yang lebih khusus diperlukan dan pendekatan one size fits all tidak boleh digunakan untuk memastikan kecemerlangan kedua-duanya.

Apa itu Microsoft Windows

Rabu, 27 April 2011

 

Apa itu Microsoft Windows


Windows ialah sebuah sistem pengendalian yang dibangunkan dan dipasarkan oleh Microsoft. Sehingga kini, terdapat pelbagai versi Windows, antaranya Windows 95, Windows 98, Windows ME, Windows NT, Windows XP dan yang terbaru daripada Microsoft ialah Windows Vista yang dilancarkankan pada tahun 2007.
windows_logo
Keluarga Microsoft Windows
Pada asalnya, Microsoft Windows hanyalah sekadar berfungsi untuk menyediakan suasana pengendalian antaramuka grafik pengguna yang lebih mudah digunakan kepada pengguna MS-DOS, namun penggunaan Windows yang semakin meluas menjelang pertengahan dekad 1990-an menyebabkan Microsoft menaiktaraf perisian Windows kepada sebuah sistem pengendalian.
Windows NT mula diperkenalkan pada tahun 1993 kepada pengguna perniagaan dengan menggunakan antaramuka yang serupa dengan Windows 3.x. Bermula tahun 2001, kesemua versi terkini Windows menggunakan teknologi NT sepenuhnya yang lebih stabil.
Ciri-ciri utama
Terdapat pelbagai ciri utama dalam sistem operasi Windows terutama Windows XP antara ia mementingkan kepada tiga aspek utama iaitu setting, kemaskini dan tahap keselamatan. Windows XP ini juga menjadikan lebih mudah untuk menyusun dan menguruskan sumber sekuriti melalui peralatan sekuriti mantap, mudah dicapai dan intuitif dengan seting yang dipertingkatkan antaranya seperti pusat sekuriti Windows dan pengurusan berpusat bagi Windows Firewall dan Internet Explorer (IE) Di samping itu Windows XP SP2 ini juga membaiki keupayaan pengguna untuk memastikan sentiasa selamat melalui penyaluran lebih banyak maklumat bagi membuat keputusan yang membabitkan sekuriti dan tahap rahsia mereka.
Ini termasuk kemas kini untuk pemacu penting serta sekuriti dan sokongan teknologi baru yang mana semuanya menyediakan pengalaman pengguna akhir lebih baik selain membolehkan pengkomputeran lebih produktif.Teknologi baru yang diperkenalkan itu adalah pengadang pop-up IE, menjadikan kegiatan melayari internet lebih menyeronokkan selain membolehkan pengguna mengurangkan iklan serta kandungan yang tidak diingini.
Selain itu disediakan bar maklumat IE yang menyediakan maklumat terbaik mengenai setting IE di samping memberi amaran kepada pengguna mengenai kawalan dan muat turun yang tidak ditandatangani.
Selain daripada itu permukaan Windows juga adalah berlainan dengan Windows yang sebelumnya. Di dalam Microsoft Windows XP, permukaannya adalah lebih cantik yang di sebut sebagai Luna. Permukaan Windows XP juga boleh diubah-ubah samada yang telah sedia ada ataupun dengan menggunakan aplikasi lain antaranya yang popular adalah StyleXP, WindowBlinds dan lain-lain. Dengan adanya aplikasi ini pengguna Windows boleh menukarkan latar belakang (theme) Windows mengikut kemahuan pengguna antaranya pengguna boleh menukarkan permukaan Windows kepada permukaan perisian Mac OS X (Aqua), Linux dan lain-lain yang boleh dimuat turun di internet. Didalam perisian Windows juga memuatkan perisian yang sedia ada seperti Disk Defragmenter, Internet Explorer (IE), Paint, Wordpad dan sebagainya.
Antaramuka asas Microsoft Windows
Sebaik sahaja proses but selesai, anda akan dapat melihat paparan antaramuka bagi Windows. Sebahagian besar bahagian paparan dikenali sebagai desktop dengan beberapa ikon bagi perisian aplikasi serta beberapa ikon sistem seperti My Computer (dikenali sebagai Computer di dalam Windows Vista), Recycle Bin dan sebagainya. Recycle Bin adalah folder sistem khas bagi menyimpan fail-fail yang hendak dibuang daripada cakera keras.
Di sebelah bawah pula terdapat satu jalur nipis yang dikenali sebagai bar tugasan. Bar tugasan yang asas menempatkan menu Start, dulang sistem dan beberapa butang bagi program-program aplikasi yang dibuka (jika ada). Ini membolehkan pengguna menukar program yang dibuka dengan pantas dan mudah tanpa mematikan program-program lain. Ciri tersebut menjadikan Windows sebagai sistem pengendalian berbilang tugasan (multi-tasking). Dulang sistem pula menempatkan jam, kawalan suara, ikon peringatan sistem serta beberapa ikon bagi program yang berjalan secara latar belakang seperti perisian antivirus.
Menu Start menempatkan senarai penuh program yang dipasang di dalam Windows, pautan ke Panel Kawalan, Bantuan dan perintah untuk log keluar akaun Windows serta perintah menutup Windows. Komputer akan dimatikan secara automatik setelah proses menutup Windows selesai.
Kebanyakan program aplikasi memaparkan antaramuka asas berbentuk segiempat yang dikenali sebagai tetingkap. Sebuah tetingkap mempunyai bar tajuk, bar menu, bar peralatan, ruang program serta bar status. Bar tajuk memaparkan ikon program, tajuk program, serta butang-butang Minimize (mengecilkan dan menyembunyikan program di dalam bar tugasan), Maximize (membesarkan tetingkap sehingga memenuhi ruang desktop)/Restore (mengembalikan tetingkap yang dibesarkan kepada saiz asal) dan Close (menutup program).
Semua arahan di dalam Windows boleh dijalankan dengan mudah dengan menggunakan tetikus serta papan kekunci untuk memasukkan teks serta beberapa perintah.

Kadar penembusan jalur lebar negara lepasi sasaran

Isnin, 11 April 2011


KUALA LUMPUR: Kadar penembusan jalur lebar bagi isi rumah di negara ini sudah melepasi 55 peratus sehingga 8 Disember lalu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, jumlah itu melebihi lima peratus daripada sasaran ditetapkan pada tahun lalu iaitu 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Rais berkata, pelanggan telefon selular pula melebihi 32 juta atau 109 peratus dari segi kadar penembusan manakala pelanggan telefon bimbit 3G pula berjumlah 3.9 juta pada masa ini.

“Justeru itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti ada satu kerjasama lebih hebat supaya kita dapat mencapai semua perjuangan kita melalui telekomunikasi,” katanya kepada pemberita pada Malam Penghargaan Jalur Lebar 1Malaysia di sini, malam tadi.

Antara syarikat telekomunikasi yang memenangi anugerah pada majlis berkenaan ialah Telekom Malaysia bagi kategori Pakej Jalur Lebar Terbaik, Celcom bagi Bilangan Langganan Jalur Lebar Tertinggi dan DiGi bagi Iklan TV Jalur Lebar Terbaik.

Mengenai pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh sebuah laman web antarabangsa Wikilleaks, Rais memberi amaran kepada pengusaha internet supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat atau mengeluarkan perkara yang rahsia atau sulit.

“Penting untuk kerajaan khasnya untuk berhati-hati dan perkembangan ini yang telahpun memalukan beberapa pihak termasuk di Singapura, Australia, India dan ia mungkin sampai ke negara kita.

“Jika ia berlaku, masyarakat perlu hati-hati dan tidak menerima hakikatnya seratus peratus lantaran apa yang disalurkan ini adalah perkara-perkara yang tidak lagi ditapis kenyataan atau kebenarannya,” katanya. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Integrasikan ICT dalam P&P

Kota Samarahan - Selepas berkunjung ke empat buah negeri, Program Jerayawara Pembestarian Sekolah Bestari (MSC) diteruskan ke destinasi terakhir di Sarawak bagi memberi pendedahan pemahaman tentang transformasi yang harus dilakukan oleh pentadbir sekolah ke arah men- capai tahap yang cemerlang dalam proses penarafan Sekolah Bestari.

Manakala para guru pula didedahkan dengan konsep pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Seramai 150 orang pengetua, guru besar dan guru telah berpeluang menyertai program anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Sarawak baru-baru ini.

Bagi mencapai objektif penganjuran, MDeC dan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) telah menjemput Pensyarah Jabatan Teknologi Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain untuk mengendalikan dua sesi taklimat yang dijalankan.

Terdahulu, Pegawai BTPN Sarawak, Munawwar Ismail telah memberikan taklimat tentang Piawaian Kelaya-kan Sekolah Bestari (SSQS) dan kaedah untuk membestarikan semua sekolah.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sambir, Latif Jem, program tersebut telah memberikan satu pengalaman yang menarik dan membuka mindanya mengenai penarafan SSQS dan cara-cara mengintegrasikan ICT dalam bilik darjah.

"Kemudahan jalur lebar yang akan digunakan dalam sesi pengajaran diharapkan akan membantu serta memudahkan para guru dan murid-murid untuk mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran," katanya.

Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak, Abd. Wahed Rosli berkata, aspek pengintegrasian ICT dalam P&P perlu diberi penekanan yang lebih serius kerana kebanyakan guru sudah mengetahui cara mengaplikasi ICT tetapi masih kurang mahir mengintegrasikannya.

Sementara itu Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Muara Tuang, Adelina Alos berkata, program yang disertainya ini banyak memberi motivasi kepada dirinya untuk mengintegrasikan ICT dalam P&P.

"Saya percaya, pengintegrasian ICT mampu menarik minat murid-murid untuk memberi tumpuan kepada proses P&P yang tidak lagi hanya terbatas di dalam bilik darjah sahaja," katanya.

Sumber: Utusan Online

Robot pembantu rumah dan dunia 3D

Wartawan diberi penerangan mengenai penggunaan robot oleh pegawai Festo AG.

SESUAI dengan tarafnya sebagai wilayah sains dan teknologi, aplikasi robotik dan automasi merupakan antara tarikan utama di Baden-Wurttemberg.

Robot-robot itu dicipta oleh institut-institut penyelidikan untuk kegunaan industri bagi membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti.

Universiti Stuttgard misalnya, mempunyai dua ciptaan robot yang mampu melakukan kerja-kerja yang sukar dibuat oleh manusia.

Ia sesuai digunakan untuk melakukan kerja-kerja di pelantar minyak, malah sebuah syarikat di Malaysia turut menempah robot berkenaan.

Satu lagi ialah robot dicipta khas untuk membantu kerja-kerja rumah.

Robot berkenaan sesuai digunakan oleh warga emas yang tinggal sendirian. Ia boleh bergerak mengambil dan menyerahkan barang-barang termasuk membuka peti sejuk untuk mengambil makanan dan minuman.

Tujuan robot itu dicipta ialah bagi membolehkan warga emas tinggal lebih lama di rumah sendiri dan tidak perlu terlalu awal masuk ke rumah orang tua kerana ada robot menjaga mereka.

Robot dikawal menggunakan komputer itu juga boleh menghubungi ahli keluarga terdekat, jika 'tuannya' tiba-tiba dia jatuh sakit dan tidak sedarkan diri.

Selain kajian robotik, penyelidikan dalam bidang optik tidak kurang menarik apabila kami dibawa melawat ke makmal realiti maya yang mempunyai bilik maya dinamakan '6-sided CAVE HyPI-6'.

Di situ pelawat perlu memakai cermin mata tiga dimensi (3D) untuk meneroka persekitaran alam maya iaitu berjalan-jalan dalam sebuah bangunan yang tidak wujud.

Bangunan maya ini boleh menyerupai model bangunan yang mahu dibina atau sedia ada.

Semasa berada di alam maya itu, pengubahsuaian boleh dibuat pada reka bentuk bangunan terbabit seperti menukar kedudukan bilik, dinding atau perabot mengikuti pilihan masing-masing.

Di Festo AG pula, memperlihatkan kecanggihan pusat latihan dan kilang pengeluaran teknologinya di samping mendapat maklumat menarik mengenai proses pembelian kereta di Jerman.

Menurut Ketua Perkhidmatan Pelawat Antarabangsanya, Christoph Kogler, proses membeli kereta di Jerman berbeza dengan negara-negara Asia yang kebiasaannya menempah secara terus kereta siap dipasang di pusat pameran dan jualan kereta.

Kogler memberitahu, kereta yang dimiliki oleh pemandu di Jerman adalah istimewa.

Pembeli dikehendaki memilih sendiri peralatan yang mahu dipasang pada kenderaan mereka.

Ia menjadikan kereta itu eksklusif kepada pemiliknya kerana tidak sama dengan kereta orang lain walaupun perlu menunggu selama tiga bulan untuk siap dipasang.

Melihat betapa Baden-Wurttemberg maju ke hadapan dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi, sudah tentu tidak rugi jika Malaysia menjalinkan kerjasama rapat dengannya.

Terutama kerjasama dalam industri dan pendidikan sekiranya ingin mencapai tahap negara maju menjelang 2020.

Mudah dan pelbagai guna

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Utusan Online
Fungsi PointDraw membenarkan pengguna menconteng atau melukis sejauh lapan meter dari papan putih interaktif.

Bagi meningkatkan pembelajaran, syarikat pengeluar bahan multimedia terkemuka, BenQ memperkenalkan projektor yang sesuai dengan persekitaran pembelajaran masa kini.

Justeru, menerima projektor BenQ MP780 ST untuk diuji guna memang sesuatu mengujakan bagi penulis mengalami sendiri kelebihan projektor PointDraw berkenaan.

Projektor berkenaan istimewa dengan sistem PointDraw dengan pen interaktif, dilePublish Postngkapi dengan papan interaktif, pembesar suara yang memaksimumkan penggunaan ruang di dinding bilik darjah dengan membenarkan pengguna untuk menunjukkan, melukis dan menulis apa saja di permukaannya.

Pihak BenQ ada mengatakan projektor MP780 ST pasti mendapat tempat di hati bukan saja menarik perhatian pelajar untuk belajar malah memudahkan guru mengajar.

BenQ MP780 ST menggunakan antara muka ultra-intuitive, tidak seperti sistem pen interaktif tradisional kerana pennya tidak perlu ditentu ukur sebelum digunakan semula.

Pemasangan pantas secara plug-and-play membolehkan sambungan antara BenQ MP780 ST dengan komputer riba atau komputer meja.

Selepas itu pengguna boleh terus menggunakannya sama ada untuk melukis atau menulis pada permukaan licin tanpa memerlukan papan putih atau skrin berasingan.

BenQ MP780 ST dan sistem PointDraw sesuai dengan apa saja sistem operasi yang menyokong tetikus USB standard.

Selain itu ia juga membolehkan paparan skrin besar, integrasi dan berkongsi hampir semua perisian atau kandungan digital yang boleh dilihat di monitor komputer.

Fungsi pen PointDraw dalam projektor BenQ MP780 ST menunjukkan ciri butang yang berfungsi sama seperti butang tetikus sebelah kiri.

Ini akan membolehkan pengguna untuk memberikan kesan yang sama sebagaimana yang ditawarkan oleh butang tetikus sebelah kiri.

Selain itu sistem PointDraw membenarkan pengguna menconteng sejauh lapan meter daripada permukaan.

BenQ MP780 ST juga mempunyai Q Draw Interactive Software yang meningkatkan fungsi dengan beberapa pilihan melukis termasuk jenis pen yang berlainan, empat warna dakwat, beberapa ketebalan garisan, jadual dan keupayaan carta, pemilihan bentuk, senario skrin lawak dan beberapa widget yang berguna.

Ia akan membenarkan pengguna merekodkan seluruh pembelajaran yang ditulis atau dilukis dengan pen PointDraw.

BenQ MP780 ST membenarkan pengguna mencipta sendiri ruang projektor interaktif bermula dengan 48 inci sehingga 300 inci bagi memaksimumkan ruang dinding bilik darjah.

Berat hanya 2.6 kg ditambah dengan beberapa ciri projektor BenQ MP780 ST dam pembaca USB bersepadu bagi projektor PC, fungsi komputer meja mudah alih dan dua pembesar suara bina dalam berkuasa 10Watt.

BenQ MP780 ST PointDraw juga menawarkan pilihan sambungan HDMI v1.3, Composite, S-Video, D-Sub, mikrofon USB, L/R audio, stereo mini jack, port RJ45 dan RS232.

Selain itu projektor berkenaan juga dilengkapi dengan keupayaan 3D stereoskopik serta ciri-ciri kos penyelenggaraan rendah termasuk teknologi penapis bebas DLP bagi warna yang konsisten, kawalan satu kabel LAN dan paparan bagi tinjauan produk.

ICT bukan alat sembang sosial semata-mata - Tengku Azlan


JERANTUT 20 Dis. - Pelajar luar bandar di daerah ini diingatkan supaya tidak menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai alat untuk bersembang menerusi laman sosial semata-mata.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menegaskan, sebaliknya, pelajar perlu menggunakan kemudahan itu untuk meneroka pengetahuan dan kemahiran supaya tidak terpinggir dalam arus pembangunan global.

''Mungkin ketika dulu kita terlepas satu gerakan revolusi ICT dan hari ini kita tidak boleh lagi ketinggalan.

''Justeru, pelajar perlu seiring dengan perkembangan ICT agar kita dapat melonjakkan pencapaian negara dalam semua bidang yang diperakui di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Beg Sekolah dan Hamper Makanan Kesihatan di bawah Program Gempur Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee dan Ketua Wanita UMNO Jerantut, Norhelan Mahmud.

Pada majlis itu, Tengku Azlan menyumbangkan bantuan peribadi beg sekolah kepada seramai 200 pelajar dan makanan kesihatan bernilai RM300 kepada penduduk miskin.

Katanya, kemahiran dalam ICT boleh membantu mencorakkan negara dalam semua bidang penyelidikan di sektor kerajaan dan swasta.

Sehubungan itu, katanya, pelajar perlu bersyukur dan berbangga kerana Malaysia mempunyai kemudahan pendidikan bertaraf dunia, berkualiti dan murah.

''Kerajaan prihatin dengan memberi kemudahan komputer dan jalur lebar dan mengagihkan netbook di bawah penyeliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), malah, sebanyak 51,000 unit netbook lagi akan diagihkan pada tahun depan.